Oct 6, 2010

Sinopsis Buku Rias Rumah gaya AMI

Salam dan apa khabar, 

Sementara menunggu kelahiran buku berjudul Buat Sendiri DIY (do it yourself) Rias Rumah gaya AMI, seperti diperkatakan sebelum ini, suka saya memaparkan sedikit sinopsis amanat buku yang bakal dilancarkan. Mudah-mudahan tidak tuan-puan ternanti-nanti.


Buku ini mengandungi bahan teknikal yang lebih praktikal dipersembahkan secara santai serta dimuatkan petua-petua DIY berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis sendiri selain bacaan tambahan. Tujuan utama buku ini diketengahkan adalah sebagai menyahut cabaran program ke arah Negara Maju dan mengisi keperluan maklumat semasa. Merupakan wadah model pembangunan insan menerusi konsep amalan praktikal yang penulis percaya banyak manfaatnya dan sepatutnya tidak terlepas pandang supaya menjadi budaya warga masyarakat kita. Kali ini penulis ingin menekankan dan uar-uarkan pendekatan ilmu praktikal khususnya bidang ubah dan hias rumah secara buat sendiri kepada khalayak dalam negara kita kerana di luar sana masih kurang terdapat buku-buku berbentuk praktikal atau non-fiction.

Untuk maju, kita kenalah melihat negara maju dan tiada salah kita mengambil nilai budaya yang positif. Saya  ingin memperkenalkan satu budaya di Amerika Syarikat (US) yang sesuai dicontohi iaitu budaya DIY yang hingga kini menjadi amalan mereka. Kebanyakan warga US berkebolehan multi tasking dan yang penting cara berfikir serta tindak tanduk mereka yang lebih praktikal! Ini terbongkar, diakui sendiri oleh salah seorang penulis terkenal mereka iaitu Hugh C Sherwood yang dengan bangganya mengatakan antara sebab US menjadi maju adalah dek kerana warga masyarakat mereka kebanyakan terdiri daripada khalayak yang sentiasa menggilap naluri praktikal mahupun common sense. Saya pun terfikir bagaimana ya.. dipendekan cerita ada benarnya.

Sesungguhnya hal ini ada kene-mengena dengan buku-buku ilmu praktikal yang melimpah ruah terdapat di Negara Barat. Buku jenis berkenaan atau kategori 'bagaimana hendak buat', how to do menyentuh perkara berkaitan daripada membaiki pelbgai perkakas hinggalah soal membina pesawat penerbangan kecil sangat mudah diperoleh. Di negara kita bukan tidak ada buku seumpama itu, cuma ia kurang dibukukan dan skopnya sempit. Lebih berkisar kepada resipi makanan ataupun bagaimana hendak menjadi Jutawan! Jadi tidak hairanlah jika kita disini kadang-kala berdepan dengan keputusan perancangan dan  pelaksanaan projek yang tidak begitu  munasabah. Kita akan terngiang-ngiang dengan ungkapan 'rumah siap pahat berbunyi. Hal ini berlaku berkait rapat akibat keputusan yang diambil  terlalu banyak bersandarkan teori daripada praktikal.

Kebanyakan orang ternama Amerika adalah dalam kalangan DIY man. Umpamanya Thomas Jefferson presiden ketiga US mereka-bentuk kediamannya sendiri. Ciptaan dan penemuan teknologi baharu oleh pencipta-pencipta US terkenal adalah hasil amalan konsep DIY. Nama-nama seperti Thomas Edison dan Einstein juga dalam golongan practical man dan banyak lagi. Mereka semuanya membuat sendiri sesuatu lalu mereka menurunkan ilmu dengan fakta dan bukti.

Ya mereka menghormati ilmu bersumberkan pengalaman! Pengalaman lama mahupun yang baharu mereka tidak ambil pusing, janji bernas serta termasuk akal. Hatta kisah Noah Ark pun mereka jejaki, mereka menggemari meneroka rahsia tersirat 'bagaimana' bahtera Nabi Noh a.s dibuat. Kemudian, walauapapun niat mereka, mereka tidak lokek mengumumkan untuk kemasalahatan manusia sejagat. Usah berasa pelik, mereka juga tahu bahawa junjungan besar kita Nabi Mohammad S.A.W menjahit pakaian baginda sendiri. Ya.. istilah moden bermaksud DIY! Renungkanlah!

Begitulah antara mesej atau pengetahuan yang ingin dikongsikan. Disamping pengisian utama judul yang tertera iaitu maklumat panduan kaedah buat sendiri mengubahsuai dan menghias kediaman secara mudah, jimat dan mampu dilaksanakan, buku ini juga disulami inspirasi bagi mereka yang ingin menggiatkan lagi lapangan kemahiran hidup. Keseluruhannya,  intipati buku ini bakal memberi rangsangan untuk hidup gembira dan selesa mengikut tuntutan syariat.

Wassalam.

u/p: Buku ini dalam proses pra cetak. Jika anda berminat memiliki buku ini atau mengedarnya,
sila emel saya: habdmalik@yahoo.com

No comments: